Persediaan sebelum memulakan penulisan kreatif

Anda telah membaca berpuluh-puluh buah karya kreatif, dan setiap kali itulah anda akan mengeluh kerana anda tidak menyukai watak utama yang hanya tahu bermonolog tanpa melakukan sesuatu tindakan. Anda juga tidak menyukai jalan cerita novel yang anda baca, lebih-lebih pengakhiran cerita. Semua kelemahan-kelemahan dalam novel yang anda baca menyebabkan anda ingin melemparkan saja buku tebal beratus mukasurat itu ke dinding.

“Aku, kalau tulis cerita ni pasti sedap,” anda berkata diiringi keluhan berat.

Sekiranya anda pernah menyuarakan hasrat sebegini, saya pasti anda tidak berlengah-lengah lagi untuk membuktikannya. Inilah masa yang paling sesuai untuk anda merealisasikan impian untuk menghasilkan sebuah manuskrip, samada dalam bentuk cerpen ataupun novel.

Walaubagaimanapun, sebelum anda pergi lebih jauh, panduan yang akan saya senaraikan di bawah boleh membantu anda mempercepatkan lagi usaha anda dalam berkarya. Untuk menghasilkan sebuah karya kreatif, anda perlu:

  • Ada ilmu pengetahuan asas tentang elemen-elemen novel dan juga cerpen: plot, watak dan perwatakan, latar, apa sudut pandangan yang sesuai untuk novel anda, dialog dan banyak lagi.
  • Rajin membaca. Semakin banyak yang anda baca, maka bertambah banyak pengetahuan dan pengalaman yang anda kutip. Tidak kiralah apa jenis novel atau cerpen yang anda baca, semuanya akan memberi sumbangan kepada proses penulisan anda nanti. Menerusi pembacaan anda akan mengamati tatabahasa dan juga pemilihan perkataan yang digunakan oleh penulis dan alasan disebalik pemilihan itu. Seterusnya anda akan dapat mengenalpasti apakah ciri-ciri watak yang menarik minat anda.
  • Rajin membuat kajian. Memang tidak dapat dinafikan sumber utama penulis ketika menulis datangnya dari pengalaman sendiri yang kemudiannya dicampuradukkan dengan idea terkumpul hasil dari pembacaan, pemerhatian dan juga temuduga. Contohnya, sekiranya novel anda menuntut watak yang mempunyai split personality, mahu tidak mahu anda terpaksa menjalankan suatu kajian tentang psikologi watak ini. Kecualilah kalau anda menghidapi kemurungan yang menjurus ke arah kecelaruan bipolar, anda mempunyai sumber utama watak tersebut–anda sendiri.
  • Menetapkan genre yang anda paling selesa tulis. Sekiranya anda rajin menulis tentang kisah-kisah remaja, anda boleh menulis novel remaja. Sekiranya anda suka misteri dan penyiasatan, anda boleh memilih genre ini untuk anda tulis.
  • Mempunyai tahap ketahanan mental yang kental. Proses menulis sebuah novel tidak semudah yang disangka. Sekiranya anda menulis untuk diri sendiri–bukan bertujuan untuk diterbitkan–anda tidak perlu menyiksa diri. Anda juga tidak perlu memastikan samada novel anda mempunyai plot. Dengan kata lain, “No plot, no problem.” Walau bagaimanapun, bagi anda yang ingin menghasilkan sebuah karya untuk diterbitkan, anda perlu memberikan yang terbaik. Anda bukan lagi menulis untuk tatapan sendiri, tetapi untuk umum. Oleh itu, disiplin diri amat penting untuk mempastikan naskah novel yang anda hasilkan itu mempunyai kualiti yang dikehendaki oleh pihak penerbit.

Masih banyak lagi perkara penting yang perlu disenaraikan di atas, tetapi sebagai seorang yang rajin membaca saya pasti anda pernah tersandung informasi proses utama yang perlu diketahui dalam penulisan karya kreatif terutamanya novel. Sekiranya anda baru berjinak-jinak dalam bidang penulisan, memulakan penulisan anda dengan cerpen barangkali adalah jalan paling selamat untuk melindungi diri anda daripada diselubungi kekecewaan. Setelah itu barulah anda melangkah ke arah penulisan novella dan seterusnya novel.

Selamat berjaya.