Anggur Liar Concord


Tahukah anda bahawa buah anggur yang anda beli di pasaraya atau pusat membeli-belah itu sebenarnya tidak mempunyai rasa anggur yang tulin? Buah anggur komersial yang anda makan selama ini, meskipun terasa manis, ianya tidak mempunyai aroma “berries” seperti buah anggur yang sebenar. Saya sendiri tertipu, sehinggalah saya terserempak dengan tanaman anggur yang tumbuh meliar yang dinamakan anggur liar Concord.

Ya. Jangan terperanjat. Anggur liar ini tumbuh menjalar dengan suburnya di pagar-pagar terbiar sepanjang bike trail atau jalan-jalan kecil yang dihiasi tumbuhan renek dan pokok-pokok di kiri kanan. Anggur ini dianggap liar kerana ianya tidak ditanam secara komersial dan tidak dijual di pasar utama atau pusat membeli-belah. Rasanya amat berbeza dengan buah anggur yang biasa kita perolehi di bahagian khas untuk buah-buahan segar di pasaraya. Ianya mempunyai aroma strawberi yang kuat atau seperti gula-gula berperisa strawberi yang berbau manis dan juga sedikit musky atau berbau kesturi.

Anggur Concord ditanam buat pertama kalinya oleh Ephraim Bales Bull di ladangnya di Concord, Massachusetts pada tahun 1849. Sebab itulah ianya dinamakan anggur Concord. Buah anggur liar ini kecil sahaja saiznya berbanding dengan anggur komersial. Waktu muda, buahnya berwarna hijau kemudian berubah menjadi ungu kebiruan apabila masak. Isinya kehijauan dan mempunyai biji sebesar biji beras. Kulit buah anggur liar ini agak pahit kerana kandungan tanin yang agak banyak.

Meskipun tumbuh meliar, ramai juga yang memilih untuk menanam anggur Concord di halaman rumah, dengan membiarkannya tumbuh menjalar di sepanjang pagar. Ada juga yang membina gerbang atau pergola khusus untuk memudahkan pokok anggur tersebut memanjat dan menjalar membentuk kanopi. Di bawah kanopi ini pula amat sesuai dijadikan tempat berteduh dari sinar matahari musim panas. Waktu ini, tuan rumah biasanya meletakkan meja dan beberapa buah kerusi dan menjadikannya tempat bersantai, makan tengahari atau membaca sambil menikmati udara segar.

Tiga minggu selepas bermulanya musim bunga, daun-daun anggur liar Concord mula tumbuh. Kemudian, tanaman ini mula berputik dan mengeluarkan buah pada awal musim panas. Apabila penghujung musim panas tiba, buah anggur yang pada mulanya berwarna hijau mula bertukar unggu gelap kebiruan. Aroma yang kuat menandakan buah anggur tersebut sudah boleh dipetik dan dimakan. Lebih lama ianya ditinggalkan di dahan, makin kuat bau beri manis yang dikeluarkan oleh buah anggur ini. Ramai pejalan kaki atau yang berbasikal memetik lalu memakannya begitu saja. Ada juga yang menuainya lalu dimasak untuk dijadikan jem atau diperam untuk menghasilkan wain.