Apabila bahan untuk novel hadir tanpa diduga

Sudah menjadi tugas seorang penulis untuk mencipta suatu watak yang dinamik, hidup dan bercirikan tiga dimensi, atau 3D. Apabila pembaca membaca novel yang mempunyai watak-watak sedemikian, terutama watak protagonis, mereka akan berasa puas menikmati jalan cerita tersebut. Mereka seolah-olah pernah bertemu dan mengenali watak-watak berkenaan di alam realiti.

Saya sendiri giat mengumpul bahan untuk watak yang akan saya ketengahkan dalam novel terbaru. Tanpa diduga, idea dan bahan-bahan yang saya perlukan hadir tiba-tiba. Ianya berlaku begitu pantas dan dalam keadaan saya tidak bersedia sama sekali. Waktu itu saya sedang beratur di dalam barisan untuk membeli tiket keretapi Rapid Transit menuju ke Lechmere, Cambridge, sebuah pekan di pinggir kota Boston. Tidak jauh dari barisan, kedengaran seorang polis transit wanita sedang memberi penerangan kepada seorang jejaka yang sedang bertolak pinggang di hadapannya.

Biasanya saya tidak begitu berminat untuk memerhatikan tingkahlaku penumpang keretapi kecuali kalau saya sudah merancang mengenainya sejak awal. Tetapi, kedua-dua orang yang berdiri berhampiran itu menarik perhatian saya. Jejaka yang masih lagi bertolak pinggang menggalas beg besar yang sarat dengan alat-alat perkhemahan. Nampak gaya dia seorang hiker. Beg yang penuh kelihatan ringan dek ketinggiannya yang mencecah enam kaki lebih. Apabila dia meninggikan suara, tidak dapat tidak saya terpaksa menoleh dan melihat tepat ke wajahnya.

Saya tidak pasti penyebab pertengkaran di antara mereka. Jejaka berusia akhir duapuluhan itu menonyoh pamplet jadual keretapi beserta peta beberapa kali, barangkali cuba meyakinkan polis wanita tersebut. Namun, semuanya sia-sia apabila wanita itu mengangkat bahu kemudian berlalu untuk melayan pertanyaan penumpang yang lain.

Apabila giliran saya sampai untuk membeli tiket, saya terus menumpukan perhatian kepada mesin di hadapan. Sebaik selesai, saya keluar dari barisan kemudian menoleh ke belakang. Jejaka yang sama menjatuhkan ransel atau beg galas ke lantai sebelum menghempaskan punggungnya ke atas bangku kayu. Wajahnya merah padam. Bibirnya kumat-kamit mengeluarkan kata-kata kesat. Sesaat kemudian dia membuang pamplet beserta peta ke lantai konkrit, seolah-olah ingin menyatakan bahawa sia-sia saja dia meminta bantuan.

Entah mengapa saya tidak bersimpatipun dengan nasib jejaka berkenaan, malah saya tersenyum gelihati. Dia tidak ragu-ragu menunjukkan kejengkelannya di tempat awam. Suatu sikap yang jarang-jarang saya perhatikan di kalangan warga barat. Mereka biasanya tenang menghadapi keadaan sedemekian rupa.

Tanpa berlengah saya terus memasuki balai berlepas. Apabila keretapi sampai, saya memilih gerabak yang kurang sesak dengan penumpang dan segera mengambil tempat duduk. Beberapa minit kemudian, saya menoleh ke sebelah dan terkejut kerana jejaka yang sama duduk selang dua kerusi sahaja dari saya. Bila pula dia sampai? Saya tidak perasanpun. Kali ini dia menoleh lalu merenung saya dengan kening yang hampir bertaut. Raut wajahnya masam, seolah-olah bertanya, kenapa kau ketawakan aku? Kau fikir, semua ni lucu ya?

Saya tunduk memeriksa kuku-kuku jari tangan. Di dalam hati derai tawa saya terburai. Kemudian saya memandang sepintas ke arahnya. Wajahnya masih mencuka. Barangkali kalau tidak ada penumpang lain dalam gerabak itu, dia pasti akan berkata, “tolong hentikan senyum kambing kau tu.”

Sebaik keretapi berhenti di North Station, saya terus berdiri dan melangkah keluar menaiki tangga bergerak untuk mendapatkan keretapi lain bagi menyambung perjalanan seterusnya. Saya menarik nafas lega kerana tidak lagi berada di dalam gerabak yang sama.

Malam itu, saya mencatat tingkahlaku yang ditunjukkan oleh jejaka tersebut dengan terperinci. Malah saya juga mencatat ciri-ciri fizikalnya yang tampan, walaupun dia berperangai seperti dunia ini dia yang punya, ataupun lebih tepat, he is full of it. Siapapun dia, dan ke manapun destinasi yang dituju, saya berharap dia selamat sampai.

Kini saya telah memiliki bahan untuk menunjukkan sisi perangai curmudgeon watak utama saya.