Lewat malam rabu 30 hb. Oktober yang lepas, saya telah manyaksikan bagaimana pasukan besbol Red Sox mencipta kemenangan penuh bersejarah di kompleks sukan Fenway Park, kota Boston. Koji Uehara (pembaling penutup untuk pusingan akhir) membaling bola ke arah David Ross (penangkap bola) dengan balingan magis, splitter, yang mengelirukan Matt Carpenter (pasukan lawan), sehingga menghayun kayu pemukulnya ke arah bola lalu tersasar.
Kompleks sukan Fenway meletup dengan sorakan 38,000 penonton dan bingitnya kedengaran hingga ke negara Jepun. Uehara melompat ke dalam dakapan Ross sebelum diserbu oleh ahli-ahli pasukan yang lain. Pasukan Boston Red Sox mengalahkan pasukan lawan, St. Louis Cardinals 6-1 dan sekaligus menjadi Juara Dunia buat kali ketiga (Kemenangan pada tahun 2004 dan 2007 diperolehi ketika pasukan ini berada di tempat lawan).
Ianya merupakan kejayaan penuh istimewa yang telah ditunggu-tunggu oleh para penyokong Red Sox selama 95 tahun. Manakan tidak, sejak 1918 mereka tidak pernah menyaksikan kemenangan pasukan besbol mereka di tempat sendiri, sehinggalah ianya menjadi kenyataan pada malam rabu, sehari sebelum perayaan Halloween bermula. Namun kemenangan terbaru ini begitu bermakna kerana ianya berkait rapat dengan tragedi pengeboman di Boston Marathon pada bulan April yang lalu. Kesan tragedi tersebut, setiap penduduk di New England berpadu dan saling memberi sokongan agar kuat menghadapi apa jua cabaran yang mendatang. Dan mereka memanjangkan harapan ini melalui sokongan padu terhadap pasukan kegemaran mereka. Dari menjadi pasukan paling corot tahun lepas, Red Sox tiba-tiba menjulang piala kejuaraan tahun ini. Suatu hadiah yang tidak dijangka sama sekali oleh para peminat. Slogan Worst to First kini menjadi kenyataan.
Mengapa saya menulis tentang sukan besbol? Sedangkan saya masih terkial-kial untuk memahami permainan ini sepenuhnya? Pertama kali menonton permainan yang hampir menyerupai permainan kriket ini, saya tidak memahami langsung bagaimana skor atau mata diperolehi. Ditambah lagi dengan para pemain yang comot, atau dikenali dengan gelaran dirt dogs, dan suka mengunyah gula-gula getah tanpa henti atau memakan kuaci (biji bunga matahari, bukan biji tembikai) dan sering meludah merata tempat. Minat saya terus merudum lalu saya beralih kepada sukan lain yang lebih menarik. Bola sepak, misalnya. Stail Eropah, bukan bola sepak Amerika.
Namun Boston merupakan kota yang paling cemerlang di dalam bidang sukan–besbol, American Football, bola keranjang dan juga hoki ais. Berkumpul bersama rakan-rakan peminat sukan tidak sah sekiranya nama-nama pasukan seperti Boston Red Sox, Patriots atau Bruins dan juga Celtics tidak terselit dalam perbualan. Malah menyebut nama-nama pasukan ini saja menyebabkan anda mula menarik perhatian mereka. Lebih-lebih lagi sekiranya anda mampu memberi pendapat tentang bagaimana skor di perolehi dan mengkritik dengan penuh yakin tentang pasukan lawan. Tiba-tiba sahaja anda mempunyai ramai rakan. Bersembang mengenai pasukan sukan utama di kota ini merupakan sesuatu yang wajib ketika memulakan perbualan (selain dari merungut tentang cuaca sejuk yang mendung pada musim luruh).
Sukan bagi orang Amerika bukan sekadar kegiatan jasmani atau menjadi penyokong tegar pasukan kegemaran. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sukan di negara ini adalah agama buat para penyokong setia. Mereka memuja pasukan yang mereka minati sehinggakan kehidupan mereka berlegar di sekitar jadual permainan yang memakan beberapa bulan lamanya. Contohnya, pertandingan besbol bermula pada hujung musim sejuk (sekitar Februari) hingga ke musim luruh (awal November). Peminat setia pasukan Red Sox akan berbondong-bondong ke Fenway Park setiap kali pasukan ini bermain di tempat sendiri. Ada juga yang sanggup berbelanja besar dan mengekori pasukan ini bertanding di tempat lawan. Mereka tidak jemu membeli kemeja-T, baju panas, jaket, topi, sarung tangan dan cenderahati yang mempunyai logo stokin merah itu.
Begitulah cara peminat menunjukkan betapa mereka menyokong dan menyayangi pasukan besbol ini. Malah, sekiranya Red Sox diejek di laman-laman media sosial, mereka berlumba-lumba memadamkan ejekan tersebut sambil menyanjung setiap pemain yang mereka kagumi. Namun, apa yang menarik, peminat tegar sukan di kota ini tidak akan berdiam diri sekiranya pasukan kegemaran mereka tidak mampu mempersembahkan permainan terbaik sehingga mengalami kekalahan demi kekalahan. Para peminat akan memarahi pihak pentadbiran dan juga jurulatih. Tidak kurang juga yang bersimpati. Meskipun demikian, jarang di antara mereka yang berpaling tadah. Mereka tetap memberi sokongan padu walaupun pasukan kegemaran mengalami kekalahan kerana mereka tahu harapan untuk menang pada sesi yang baru sentiasa ada.
Apa yang pasti, para peminat begitu passionate atau sentiasa mempunyai perasaan berkobar-kobar terhadap pasukan yang mereka minati. Perasaan peminat seperti inilah yang memotivastikan setiap pasukan untuk meraih kemenangan, tidak kira samada mereka berada di Fenway Park, di Gillete Stadium, di TD Garden atau di tempat lawan. Perhubungan dua hala di antara para peminat tegar dan pasukan kegemaran mereka menyebabkan kejayaan yang diperolehi mesti di raikan bersama.
Victory parade yang telah di adakan pada 2 hb. November untuk meraikan kemenangan pasukan Red Sox dihadiri oleh ratusan ribu peminat tegar. Mereka membanjiri kawasan di sepanjang laluan utama untuk menunjukkan sokongan dan untuk mengucapkan terima kasih di atas kemenangan penuh makna ini. Kesedihan yang melanda kesan daripada tragedi pengeboman itu kini mula beransur hilang dan diganti dengan wajah-wajah keriangan. Penduduk kota Boston kini berasa lega dan ceria kerana pasukan besbol Red Sox berjaya merebut juara Siri Dunia sekali lagi.