Pipit rumah atau house sparrows menempuh musim sejuk dengan cekal.
Di kota comel ini, musim sejuk selalunya hadir bersama hujan dan ribut salji. Waktu ini, ramai yang lebih suka menghabiskan masa terluang di dalam rumah berbanding di luar. Walau bagaimanapun, bagi para pencinta musim sejuk waktu inilah mereka berpeluang bermain sukan kegemaran seperti sleding, tobogganing dan juga skiing. Apa yang pasti, samada salji turun atau tidak, warga barat yang sudah terbiasa dengan cuaca sejuk tidak ada masalah untuk menjalankan aktiviti di luar rumah seperti biasa.
Musim sejuk mempunyai ciri-ciri menariknya yang tersendiri. Misalnya, suasana persekitaran yang begitu senyap dan lengang. Kicau dan siulan merdu burung-burung ketika musim panas dulu sudah tidak kedengaran lagi. Mereka telah lama berimigrasi ke kawasan berhawa panas untuk mencari makanan. Burung hitam bersayap merah atau red-wing black bird sudahpun berhijrah ke kawasan selatan seperti Mexico dan juga Amerika Tengah. Begitu juga dengan common grackle yang sudahpun berada di Florida ketika ini. Robin pula sudah tidak kelihatan menghendap cacing yang keluar di celah-celah rerumputan.
Banyak lagi spesis burung yang selalu kelihatan sewaktu musim panas kini tiba-tiba menghilang. Antaranya ialah burung mockingbird dan mourning dove. Commorant juga tidak lagi kelihatan mengeringkan sayapnya di tasik.
Sebagai salah seorang pencinta alam sekitar dan pemerhati burung, musim sejuk terasa sedikit membosankan. Selain daripada perlu berpakaian tebal ketika berada di luar rumah, pokok-pokok kayu juga kini berhiberansi. Bunyi peluit keretapi, walau berbatu jauhnya, kini kedengaran jelas. Ketika musim panas yang lalu, suasana riuh dengan kicauan burung begitu menceriakan. Kini apabila tiba musim sejuk, yang tinggal hanyalah bunyi gemuruh keretapi menghampiri stesen.
Walaupun musim sejuk menghasilkan pemandangan yang agak kusam, salji yang turun menimbulkan suasana indah. Warna putih kapas yang berjatuhan di atas rerumputan, di tambah lagi dengan suasana sunyi sepi, begitu mendamaikan. Kebetulan hujung minggu lalu, salji telah turun dengan lebatnya. Bersama kamera di tangan, saya keluar untuk menikmati keindahan unik yang terhasil–apabila salji menyelimuti dahan-dahan birch putih, maple dan juga pagar-pagar kayu. Salji yang melitupi padang permainan umpama permaidani putih begitu menakjubkan sehinggakan rasa sejuk yang mula menyengat muka dan telapak tangan tidak terasa.
Tanpa sebarang amaran, tiba-tiba seekor burung berwarna merah terbang di hadapan saya. Saya mengekorinya. Ia hinggap di atas dahan birch putih.
Burung cardinal jantan!
Burung cardinal jantan menggembangkan bulu untuk memanaskan badan dari serangan angin kuat yang sejuk dan salji.
Burung yang amat pemalu ini sudah menjadi sasaran utama lensa kamera saya sejak pertama kali melihatnya. Malangnya saya selalu gagal mengambil gambarnya kerana belumpun sempat saya menekan pengatup, ia telahpun terbang, menukar posisi atau berlindung di antara dedaunan yang merimbun.
Kali ini ia memandang ke arah saya dengan perasaan curiga. Tetapi dia tidak berganjak, dan juga tidak mampu bersembunyi. Lalu ia mula bersiul untuk memanggil pasangannya. Saya sibuk mengambil gambar sambil mendengar bunyi suaranya yang begitu mengharap. Kami sama-sama menanti, namun burung cardinal betina masih juga tidak muncul-muncul. Tanpa menunggu lama, ia akhirnya terbang ke pohon rhu yang renek lalu bersembunyi di antara daun-daun yang berbentuk tirus. Lensa kamera saya gagal menembusi ruang tempat persembunyiannya.
Namun, saya menarik nafas lega. Usaha untuk meredah salji tidak sia-sia. Kali ini saya berjaya mendapatkan gambar burung yang sukar didekati ini.
Dalam perjalanan pulang saya terdengar suatu jeritan nyaring di atas pokok oak yang tinggi menggalah. Di atas sana kelihatan burung Blue Jay bertenggek di atas dahan. Nampaknya burung ini merupakan non-migrator. Sama seperti cardinal, house sparrow atau pipit rumah dan juga European starling, Blue Jay akan menempuh musim sejuk ini dengan cekal.
Sementara menanti ketibaan musim bunga, burung-burung non-migrator akan sentiasa hadir bertenggek di antara pohon-pohon renek. Pipit rumah dan European starling selalu terbang bersama kumpulan masing-masing. Biasanya mereka mendapat makanan bijian yang diletakkan oleh peminat burung di dalam bekas yang digantung di halaman rumah. Walaupun siulan mereka tidak semerdu burung-burung yang telah berimigrasi, telatah mereka menjadikan musim sejuk yang panjang ini tetap menghiburkan.
Sekumpulan pipit rumah sedang memakan bijirin.