JEJAKA IDAMAN

JEJAKA IDAMAN

Oleh: Julia Unggai
© Edisi terbaru 2019

Nota: Jejaka Idaman diterbitkan buat pertama kalinya oleh Majalah Remaja pada Ogos, 1992. Kemudian cerita ini dijadikan novela dan terbit pada tahun 1994 oleh Berita Publishing.

“APA RANCANGAN KAU masa cuti panjang ni, Angie?” Anna melayangkan pertanyaan ke arahku.

Aku tidak menjawab soalan Anna serta merta. Sebaliknya aku memandang aksinya yang sedang mengoyakkan roti canai kosong dengan garpu dan sudu. Kafeteria Universiti pagi itu lengang. Kebanyakan siswa dan siswi sedang menghadapi kertas peperiksaan di DECTAR dan juga di bilik-bilik kuliah. Ada juga yang telah selesai manghadapi peperiksaan dan terus balik ke kampung.

Akhirnya aku mengeluh. “Vacation kita panjang… aku mau siapkan assignment aku tu. Cuma, aku tidak terfikir apa rencana yang patut aku tulis,” aku mengadu pada Anna yang sudah meletakkan garpu dan sudu di pinggan. “Kau pula?” Aku memandang Anna sebelum meyuapkan sesudu nasi lemak ke dalam mulut.

Kali ini Anna mengoyakkan roti dengan tangan lalu memasukkannya ke dalam mulut. “Hmmm… sedap!” dia bersuara kemudian menghirup teh tarik yang masih berbuih. Anna seperti mengelak untuk menjawab pertanyaanku. Atau mungkin dia tidak ada sebarang rancangan? Tiba-tiba dia berhenti mengunyah. “Eh! Itupun Rina dan Beth!”

Aku segera menoleh ke belakang. Rina dan Elizabeth melambai ke arah kami sebelum mereka melangkah ke arah kaunter layan diri untuk memesan sarapan pagi. Lima minit kemudian kedua-dua rakan kami itu sudah berada di hadapan meja.

“Amacam paper tadi?” Anna tidak sabar-sabar bertanya kepada Elizabeth dan Rina.

Rina meletakkan pencil case di atas meja kemudian diikuti oleh gelas minumannya. Tangan baju panas yang diikat di lehernya segera dirungkai perlahan sebelum dia melabuhkan diri di atas kerusi plastik yang sudah hilang seri. Dia mengeluh. Pertanyaan Anna dibiarkan berlalu begitu saja.

Sementara itu Elizabeth meletakkan makanan yang dipesan di atas meja sebelum menghenyakkan punggung di atas kerusi. Wajahnya yang berkerut-kerut sudah lebih dari cukup untuk aku dan Anna mendapatkan jawapan.

“Amacam?” Anna meminta kepastian lagi.

“Huh! Gila! Lain yang dibaca lain yang keluar! Mesti aku “carry” paper tu semester depan kalau macam ni,” Elizabeth bersuara.

“Haha!” Aku segera menekup mulut, tapi tawaku terlepas keluar.

Mata Elizabeth terjegil. “Angelia Peter! Kau ketawa ya? Mentang-mentang kau dah habis papers!” Tangannya memanjang ke depan ingin mengcekau lenganku.

Aku segera mengelak kerana aku sedar dia memang tidak bergurau apabila dia menyebut nama penuhku. “Sorry, sorry! Aku bukan ketawa pasal tu!”

“Habis kau ketawa pasal apa?” Muka Elizabeth berubah masam.

“Muka kau tu! Masih tension lagi! Rileklah, Beth. Kau tak akan “carry” paper Prof. Ibrahim tu. Percayalah.” Aku menepuk-nepuk tangan Beth.

“Kenapa kau cakap macam tu? Macam mana kau tau?”

“Senior cakap. Paling terukpun dia akan bagi C.”

“Alah! Seniors,” Elizabeth berkata. “Cakap saja. Orientasi kita macam askar. Tunggu! Sesi depan giliran kita pula.”

“Ah, sudahlah tu. Makan mi kau, Beth. Jangan layan si Angie tu. Dah seminggu tak ada paper masih menyibuk di kampus,” Rina berkata untuk membela rakannya.

Aku dan Anna saling berpandangan dan kami tersenyum simpul. “Kamu jangan lupa, kita balik berkumpulan. Kalau kami balik awal terpaksalah korang kena bayar penuh…,” aku mengingatkan.

Wajah Rina dan Elizabeth tiba-tiba berubah menjadi peramah setelah mendengar peringatanku. “Iyalah tu,” Rina berkata lalu menjuihkan bibir sebagai tanda meluat.

“Jadi?” Anna berkata. “Apa projek kita masa cuti selama dua setengah bulan ni?” Aku tahu Anna sengaja menukar tajuk perbualan untuk meredakan suasana janggal di antara kami.

“Anne! Kau belum jawab pertanyaanku lagi,” aku berkata.

“Kita tanya dulu kawan kita berdua ni. Mana tau projek mereka bagus. Bolehlah kita join sama,” Anna berkata sambil memandang Rina dan Elizabeth sebelum beralih arahku.

“Oh ya, bagaimana dengan projek yang pernah kita bincangkan dulu tu?” Rina bertanya ke arah kami bertiga. Tiga pasang mata rakan-rakanku melirik nakal dan bibir masing-masing terjungkit ke atas. Mereka kemudian terkekeh. Sementara aku masih terpinga-pinga kerana cuba mengingati projek mana satu yang Rina maksudkan.

“Kau dah menemuinya, Angie?”

Aku terkedu. Keliru dengan pertanyaan Rina. “Siapa?”

“Hah! Tengok tu dia dah mula berdalih.” Rina ketawa lalu menepis lenganku.

“Siapa?” aku bertanya lagi. Suaraku kedengaran meninggi.

“Jejaka idaman kau tu!” Rina dan Elizabeth berkata serentak.

“Oh!” Aku menarik nafas lalu menjatuhkan bahu. Anna menolakku. Hampir-hampir aku terjatuh dari kerusi. Tawa mereka bertiga berderai.

“Semua ni gara-gara baca buku Mills and Boon! Hah, Angie. Ini satu cabaran. Kau mesti mendapatkannya.”

Okey. Sebaik saja terdengar nama penerbit buku Mills and Boon, aku teringat tentang projek rahsia yang telah aku usulkan sedikit masa lalu.

“Jadi, kalau macam tu bolehlah kita lanjutkan projek tu,” Rina membentangkan idea.

“Jadi korangpun tengah huntinglah ni?” Aku menjeling nakal ke arah mereka. Tawa rakan-rakanku pecah lagi.

“Alah, just for fun. No harm, kan Beth?” Rina berkata.

Beth mengangguk. Anna yang telah kekenyangan setelah membaham sepinggan roti canai diam seperti badak tengah berendam.

“Jadi, kaupun mahu meneruskan rancangan gila ni, Anne?” aku bertanya.

Anna mengangkat bahu. “Aku tak ada assignment.” Anna melirik ke arahku. “Bolehlah release tension.”

Aku mencebik bosan. Malang sungguh nasibku cuti panjang ni. “Aku perlu siapkan tugasanku dulu….”

“Tugasan apa, Angie?” Rina bertanya.

“Paper kewartawanan. Kena buat satu rencana. Yang penting sesi depan mesti siap. Korang ada idea tentang isu menarik?” aku meminta cadangan.

“Senang saja tu. Bulan Mei ni negeri kita akan mengadakan Pesta Kaamatan. Kau tulis satu rencana tentang pertanding Unduk Ngadau,” Elizabeth memberi pendapat.

Aku menepuk dahi. “Satu cadangan yang baik!” aku berkata. “Kenapa aku tidak ingat bulan Mei ni Sabah akan merayakan Pesta Menuai?” Ya! Pertandingan ratu cantik merupakan acara kemuncak pesta menuai. “Thanks, Beth! Otak kau memang boleh pakai!” Aku menepuk bahu Elizabeth.

“Habis, jejaka idaman kau tu mesti frust sebab kau tak cari dia!” Rina bersuara mengusik.

Aku menarik muka masam. Namun tidak ada jawapan yang mampu aku semburkan kembali.

“Tall, dark and handsome!” Anna menokok tambah dengan suara penuh perasaan. Tawa Rina dan Elizabeth meledak.

“Alah! Aku gurau saja masa tu. Spesis macam tu mana ada di Malaysia. Kalau adapun, sudah dipunyai,” aku berkata cuba mempertahankan diri daripada terus menjadi bahan usikan rakan-rakanku.

“Kau kena cari jugak!” Anna memerintah.

“Okey! Aku cari.” Aku tidak dapat menarik janji yang sudah diluah. Rakan-rakanku bukan boleh bertolak ansur. “Tapi korang bertigapun carilah juga. Takkan aku seorang.” Aku meminta sokongan. Mereka bertiga menganggukkan kepala. Mengiakan.

“Kita jumpa lagi di tempat biasa bila balik ke tempat masing-masing, okey?” Anne berkata untuk memutuskan perbualan kami yang semakin meleret.

Mencari jejaka idaman dari spesis yang bukan hidup di Malaysia memang tidak masuk akal. Tapi, mengisi masa cuti dengan suatu misi yang tidak mungkin menjadi realiti lebih baik daripada membuang masa tanpa tujuan.

***

SUDAH SEMINGGU AKU berasa di rumah nenek. Hawa dingin pergunungan terasa begitu menyegarkan. Betapa aku merindukan tempat ini sepanjang pengajian tahun satuku. Rumah nenek yang hanya beratapkan zing terasa begitu teduh di kelilingi oleh bermacam jenis bunga-bunga iklim senderhana. Aku berasa keberatan untuk menghabiskan masa cuti di rumah ibu dan ayah di bandar Kota Kinabalu. Kawasan Likas penuh sesak dengan penduduk dan pencemaran. Aku lebih senang di rumah nenek. Menolongnya menjaga kebun bunga kekwa dan mawar yang berbagai warna. Daerah Kundasang yang berhawa lebih kurang 20 darjah celcius itu turun hingga belasan darjah pada waktu malam seringkali merangsang fantasi.

Ingatan pada kawan-kawan seperjuangan membuatkan aku tidak dapat mengelakkan diri daripada berasa gelihati. Aku tersenyum lebar mengingatkan perbualan bersama Rina, Elizabeth dan Anna dua minggu sudah. Tall, dark and handsome! Hmmm….satu idaman yang tidak akan mungkin tercapai. Di mana agaknya jejaka idaman itu berada? Dengan renungan deep set eyes yang berwarna biru laut. Bukan! Bukan biru laut. Biru awan. Aku tiba-tiba menjadi malu pada diriku sendiri.

Kau memang gila, Angelia Peter! Aku memarahi diriku sendiri. Memang betul juga cakap Anna. Mungkin aku terpengaruh dengan cerita-cerita cinta dari buku yang amat popular itu. Ah! Itu sesuatu yang normal. Mempunyai seseorang yang dijadikan impian. Ahli-ahli psikologi juga membenarkan perasaan itu. Memang normal bagi golongan remaja. Dan aku masih berada di dalam kategori remaja. Remaja akhir.

Puncak Kinabalu sudah dilindungi kabus. Gumpalan kapas-kapas putih itu mula menebal. Mungkin suatu hari aku akan menakluki puncak gunung itu untuk kali ketiga bersama jejaka idaman… Mungkinkah ianya menjadi satu kenyataan?

“Angie! Mana kau?” suara nenek di halaman rumah segera mematikan khayalanku yang mula menular.

“Sini, nek!” Aku menerpa nenek di ambang pintu lalu memeluk bahu wanita yang sudah berusia 60 tahun ini dengan penuh kasih sayang.

“Habis jual bunga rose hari ni, nek?” aku bertanya.

“Ya. Kekwa masih ada beberapa kuntum. Tolong nenek bungkus bunganya ya, Angie?”

Aku menganggukkan kepala. Aku suka melihat bunga-bunga yang mekar dan segar. Warnanya yang masih utuh disirami embun pagi menerbitkan suatu nostalgia yang begitu mengasyikkan. Kadang-kadang aku akan membantu nenek menjual kuntuman bunga-bunga di gerai tepi jalan menuju pekan Kundasang. Ramai para pelancong yang datang ke kaki pergunungan ini singgah untuk membeli sayur, buah-buahan dan juga bunga. Tanganku panas memasukkan plastik mylar yang digunakan untuk melindungi bunga supaya tahan lama.

“Wah, Angie. Rajin kau tolong nenek?”

Aku segera mendongakkan kepala ke arah suara yang amat kukenali. “Pakcik Dapit! Awal balik hari ni?” aku berkata. “Bagaimana dengan perjalanan ke puncak semalam?”

“Angin kuat. Kasihan juga para pendaki yang saya pandu tu. Ada yang tidak dapat naik hingga ke puncak.”

Pakcik Dapit menjelaskan perjalanannya menjadi porter kepada para pendaki gunung Kinabalu yang tingginya hampir mencecah 14,000 kaki itu. Kadang-kadang dia bertugas sebagai guide menggantikan rakannya. Badannya yang tegap dengan otot-otot yang menonjol di lengan dan kaki menunjukkan kriteria yang sesuai untuk menjadi jurupandu para pendaki. “Ramai yang mendaki kali ni, pakcik?”

“Ramai. Minggu depan pelawat dari Australia seramai seratus orang akan mendaki gunung.”

“Wow!” Aku tergamam seketika. Tentu seronok bertemu dengan para pelancong luar. Tetapi kebanyakan mereka sudah berumur… Itu yang tidak seronok. Atau memang peluang ku selalu terbabas kerana kerap berselisih dengan pelancong-pelancong yang berumur setua nenek dan pakcik Dapit setiap kali aku melawat pekan Kundasang. Di antara seratus pelancong yang pakcik Dapit nyatakan, mesti ada seorang dua yang masih muda.

Aku mengeluh. “Ruginya. Minggu depan aku terpaksa balik ke K.K., pakcik. Kalau tidak ibu dan ayah mesti marah. Itu yang aku malas tu.”

“Jangan risau. Kali ini cuti kau panjang, Angie. Bolehlah datang ke sini sebelum cuti berakhir.”

Penjelasan pakcik Dapit aku balas dengan anggukan. Kalau jejaka idamanku adalah salah seorang di antara seratus pelancong itu… memang terasa begitu merugikan kerana terlepas peluang. Kesalku bertambah. Tapi cuma sebentar kerana aku tahu ianya hanyalah khayalan. Kalau aku di suruh memilih tempat yang aku ingin tinggal, aku lebih suka memilih daerah di kaki pergunungan ini. Biarlah tanpa kemudahan yang mencukupi daripada rumah batu dengan pelbagai kemudahan tetapi begitu membosankan.

Suatu hari nanti aku akan mendirikan sebuah rumah kecil yang comel di kaki gunung bersama bunga-bunga mawar yang berbagai warna. Bersama jejaka idaman yang selama ini selalu menjelma di dalam setiap ruang ingatan. Di setiap hembusan nafas kehidupan. Di setiap langkah perjalanan alam remaja menuju dewasa.

Apakah aku berjaya menemuinya? Apakah aku dapat membuktikan janji kepada rakan-rakanku? Huh! Semuanya imaginasi belaka. Tak akan mungkin tercapai. Tapi aku tidak berasa kecewa. Bagiku ia merupakan satu impian yang indah. Dan sebenarnya aku tidak mengharapkan ia akan bertukar menjadi kenyataan.

***

“AYAH, AKU TERPAKSA pergi ke Kiulu. Aku mahu membuat liputan mengenai acara pertandingan Unduk Ngadau.”

“Tunggulah di peringkat negeri nanti. Di Dewan Koisaan, Penampang. Pertandingan di sana lagi hebat.”

“Tak maulah, ayah. Aku mahu siapkan assigment kursus kewartawanan aku tu. Secepat mungkin.”

“Kan cuti kau masih panjang,” ayah berkata memberi ingatan.

“Aku ada rancangan lain bersama kawan-kawan, ayah.” Aku tersenyum kecil apabila teringat akan rancanganku bersama Anna, Rina dan Elizabeth. Cuma kami berempat sahaja yang mengetahuinya. Dan ianya merupakan rahsia terbesar kami sepanjang percutian ini. Aku tersenyum lagi.

“Rancangan apa tu? Boleh ayah tau?”

Aku melihat mata ayah tersenyum ke arahku. Aku segera melindungi perasaan maluku dengan memuncungkan mulut. Takut kalau-kalau ayah dapat membaca fikiranku. “Adalah, yah. Kami mahu pergi ke Pulau Manukan atau ke Pulau Layang-layang. Tengok burung-burung.” Ayah mengangguk-angguk seolah-olah dia memahami.

“Siapa yang tengok burung?” Seorang wanita bertubuh langsing menjengulkan kepala ke ruang tamu. Dia sedang menyisir rambutnya yang baru sahaja di potong paras bahu.

“Alahh! Ibu ni penyibuklah. Aku dan kawan-kawan akulah.”

“Oh! Kalau memandu tu hati-hati. Jalan ke Kiulu tu berbukit-bukit. Aku sendiri tidak pasti kenapa kau tetap mahu ke pekan kecil tu untuk mendapatkan berita tugasan kau,” ibu berkata.

Aku hanya tersenyum sambil menjeling ayah. Ayah turut tersenyum. Aku gembira. Ayah memberikan kebenaran.

“Angie, ingat. Hati-hati bila memandu,” ibu mengingatkan aku sekali lagi.

Ayah bersama briefcase di tangan turun ke foyer rumah mendahului ibu. Aku mengagumi ayah. Aku tidak bertanya apa rahsia ayah sehinggakan ibu sudah lebih duapuluh tahun menjadi seitausaha ayah. Mungkin aku ialah seorang anak yang paling bertuah sekali kerana memiliki ayah dan ibu seperti mereka. Berfikiran terbuka dan memberi kepercayaan penuh ke atasku. Namun pada masa yang sama aku perlu membayarnya dengan menaati peraturan ketat dan bermacam lagi protokol sosial. Sebab itu aku lebih suka tinggal bersama nenek.

***

JALAN KE KIULU berlekuk-lekuk dan Charade kecilku terpaksa melalui jalan yang bertebing curam. Aku pergi ke pekan ini sendirian. Tidak ada seorangpun yang sudi menemaniku ke tempat yang jauh terperosok daripada bandar semata-mata untuk menyaksikan perayaan Pesta Menuai di peringkat daerah. Beg sandang berwarna hitam yang terletak di atas tempat duduk penumpang kujeling sambil mengingati peralatan yang telah aku masukkan di dalamnya. Kamera sudah. Buku nota dan pen sudah. Beg duit sudah. Telefon sudah. Okey. Aku bernyanyi-nyanyi kecil mengikuti irama lagu Beautiful Love Song yang keluar dari corong radio kereta. Kereta bersaiz besar bertali arus memotong Charade merahku. Aku biarkan sahaja. Sesekali mereka membunyikan hon dan berteriak “Hai!” Pemandu lelaki yang melihat aku memandu seorang diri bersiul atau memanggil “phewitt!” Land Cruiser dan truck yang paling popular masa kini berderet di tepi jalan semasa aku sampai di destinasi.

Setelah mendapat tempat untuk meletakkan kereta, aku terus memasuki dewan tempat berlangsungnya acara kemuncak itu. Sambil menunggu, aku memeriksa kamera Canon terpakai yang aku beli untuk kursus kewartawanan. Bateri flash masih lagi baru. Aku mencuba-cuba untuk mencari sudut yang sesuai untuk memfokuskan lensa kamera ke pentas. Kain rentang yang mengiklankan acara popular itu terbentang di sana sini.

Aku melihat sekeliling. Para penduduk di sini begitu asing buatku. Para remaja kampung yang sebaya denganku berpakaian ala kadar. Kebanyakannya hanya memakai jeans dan baju T sahaja. Tetapi mereka peramah dan senyuman yang sentiasa di bibir membuatkan aku berasa selesa bersama mereka sebagai tetamu hari itu.

Namun, aku terpaksa bertindak agresif apabila ianya melibatkan tugasan yang sedang aku jalankan. Aku memang sudah bersiap sedia untuk bersesak dengan para penonton demi untuk mendapatkan gambar yang aku inginkan. Dengan skinny jeans dan fitted T-shirt warna putih aku memang ketara kelihatan sebagai orang luar. Jalan yang berlumpur membuatkan aku bersyukur kerana memilih untuk memakai sneakers sahaja.

Aku ke sini kerana tugasan, bukan untuk memperagakan diri seperti Unduk Ngadau. Lagipun, tempat ini terpencil dan tidak sepopular pekan-pekan lain yang bersaiz besar and padat dengan penduduk. Memandangkan pekan ini mendahului senarai pekan yang memulakan perayaan pesta menuai, aku bersetuju memilihnya sebagai fokus rencanaku.

Aku melihat jam tangan. Sudah menunjukkan jam dua petang. Tanda-tanda pertandingan Unduk Ngadau sudah bermula. Aku segera mencari sudut yang sesuai untuk memudahkan aku melihat pertandingan itu. Dewan sudah dipenuhi penonton. Tua muda. Kecil besar. Dif-dif kehormat duduk di bahagian hadapan sekali. Dan pelajar Komunikasi sepertiku tidak mempunyai ruang langsung untuk duduk bersama orang-orang berhormat seperti itu.

Para peserta tampil ke hadapan sambil memperkenalkan diri seorang demi seorang. Suara teriakan menggamatkan dewan setiap kali peserta ratu kaamatan tampil ke depan memperkenalkan diri. Aku tersenyum-senyum geli hati. Kalaulah Anna, Elizabeth dan Rina ada bersamaku tentu mereka pecah perut ketawa mendengar para pemuda yang berteriak sambil bertepuk tangan ke arah para peserta.

Apa yang aku ingin tulis? Aku berfikir sambil mataku terus memandang ke arah pentas melihat peserta seorang demi seorang bergaya untuk menarik perhatian para juri yang menilai kecantikan, baju dan gaya berjalan. Baju Dusun yang diperbuat daripada baldu hitam atau kain hitam dan dihiasi dengan manik-manik dan benang emas membantu si pemakai kelihatan anggun.

Aku perlu menulis tentang tujuan perayaan Pesta Menuai ini diadakan. Perbezaan perayaan Unduk Ngadau zaman dahulu dan sekarang. Dan bagaimana pertandingan Ratu Kaamatan sudah jauh menyimpang dari tujuan asal. Aku mencatatkan semua di dalam buku nota setelah semua peserta selesai beraksi di atas pentas.

Pemilihan ke semi final akan bermula dalam masa kira-kira setengah jam. Sementara menanti, para penonton dihiburkan dengan acara nyanyian. Aku segera mengambil kerusi yang telah dikosongkan lalu menariknya ke sudut dewan. Bila pertandingan disambung, kerusi itu aku akan pulangkan kembali ke tempat asal.

Tanpa membuang masa aku melabuhkan punggung lalu mencatatkan point-point penting rencanaku. Aku mahu artikel ini lengkap dan tepat. Siap dengan pengalaman yang baru sahaja aku lalui. Masyarakat Dusun mengamalkan sistem kepercayaan Animisme. Walaupun generasi barunya sudah lama menginggalkan kepercayaan ini, tapi golongan tua tetap percaya bahawa padi yang mereka tanam mempunyai semangat.

Aku terhenti seketika apabila mendengar sorakan para penonton. Semi final akan bermula. Aku segera memasukkan buku nota ke dalam beg dan mencapai kamera. Dari duapuluh orang peserta, lima orang tidak tersenarai. Walaupun bukan juri, aku berasakan mereka bukan kalah dari segi kecantikan tetapi kerana mereka mempunyai kekurangan dari segi gaya penampilan.

Aku bangga dengan semanagt para peserta sepertimana masyarakat Dusun yang bangga dengan Amparai yang telah sanggup mengorbankan diri demi kelangsungan hidup masyarakat itu. Para peserta yang berbaris ke depan menggamatkan dewan sekali lagi. Kawasan yang sebelumnya lengang kini penuh sesak dan aku tidak dapat mengembalikan kerusi ke tempat asal.

Tanpa menunggu aku bergegas ke hadapan dewan untuk mengambil gambar para peserta. Tinggiku hanya 5 kaki 3 inci. Tapi pakaianku membuatkan aku bebas menggerakkan badan. Aku menyelit di antara para wartawan serta jurugambar perseorangan.

Suasana sesak membuatkan aku terpaksa bergerak ke belakang. Ke arah kerusi di hadapan apabila aku tidak mendapat sudut yang sesuai. Aku mengambil gambar para peserta setengah badan sahaja. Sebaik sahaja selesai memetik kamera seorang jurugambar keluar lalu menolakku terus ke belakang. Aku tidak dapat mengelakkan diri dari mengimbangi badan kecilku lalu aku terpijak kaki salah seorang penonton yang sedang duduk di kerusi yang paling hujung.

“What the hell…” Aku mendengar seseorang menyumpah di belakangku. Aku segera melihat ke lantai dan di sana kasut Reebokku di atas kasut but seseorang. Aku segera mengalihkan kaki kemudian menoleh ke arah empunya kaki yang kupijak. Nafasku terhenti. Aku segera menutup mulut dari mengeluarkan suara. Tapi mataku terpaku ke wajah sipemilik but yang telah kupijak. Sepasang mata berwarna biru awan. Sepasang mata paling cantik pernah kulihat. Deep set eyes! Dan lekukan pada dagunya jelas terbentuk meskipun dia tidak tersenyum. Warna kulitnya cantik.

Aku menurunkan tapak tangan dan memandang sekali lagi kasutnya yang sudah bercap dengan tapak kasutku. “I’m so… sorry, I… I don’t mean to,” aku berkata dengan suara gagap. Rasa bersalah mula mendominasi fikiran.

“Never mind. It’s okay,” dia berkata tenang sambil merenung wajahku. Mungkin dia ingin bersahabat. Tapi, mustahil kerana bibirnya terkatup rapat. Tapi aku tahu matanya. Matanya tersenyum memandangku!

“Look—” Ayatku terpotong apabila para penonton mula berhimpit dan menolakku.

“It’s okay. I understand.”

—bersambung…

Anda boleh membaca pengakhiran cerita ini dengan memuat turun novelet Jejaka Idaman dalam format PDF, Sila dapatkannya di sini.