Boston. Ibukota metropolitan negeri Massachusetts yang terletak di timur laut Amerika Syarikat ini mempunyai kurang tujuh juta penduduk. Saiznya kecil dan comel, namun padat. Apa yang pasti, kota in unik, punya identiti tersendiri dan daya tarikannya sukar ditemui di kota-kota besar seperti New York.
Kota Boston juga terkenal sebagai kota pelajar. Memang wajar, memandangkan di sinilah terletaknya beberapa buah pusat menara gading yang terkenal seperti Harvard University, MIT atau Massachusetts Institute of Technology, Boston College, University of Massachusetts dan banyak lagi. Pelajar-pelajar baru dari seluruh dunia akan mula membanjiri stesyen-stesyen keretapi, kawasan pejalan kaki dan juga gedung-gedung membeli-belah pada penghujung bulan Ogos. Mereka mudah dikenalpasti kerana di tangan terselit peta diiringi dengan wajah kebingungan. Saya pasti mereka telah tersesat dan tengah memikirkan jalan mana hendak dituju. Biasanya gologan ini mudah membiasakan diri kerana beberapa minggu sahaja mereka sudah mahir tentang selok belok kota yang friendly ini.
Sekiranya bertandang ke kota Boston sebagai pelancong, anda akan berpeluang untuk mengukir dan mengumpul memori indah. Tarikan utama kota ini sudah pasti pada empat musim yang masing-masing menjanjikan suatu pengalaman menarik. Misalnya, musim luruh akan memberikan suatu keindahan alam sekitar yang menakjubkan. Di pertengahan September, suhu panas akan bertukar sejuk dan daun-daun maple, birch, dan oak akan mula menguning, kemudian merah menyala. Akhirnya daun-daun ini akan menjadi keperangan, atau cokelat lalu gugur ke bumi membentuk hamparan permaidani. Pesta musim luruh akan bermula dengan aktiviti mendekorasi buah pumpkin, merayakan hari Halloween dan diakhiri dengan Thanksgiving Day atau Hari Kesyukuran.
Dan daripada kacamata seorang penulis pula, kota Boston merupakan suatu latar tempat yang memorable dan menyentuh rasa dengan kepelbagaian perwatakannya yang tersendiri. Penduduk di sini amat terkenal dengan kefanatikan terhadap pasukan sukan kegemaran mereka, termasuklah baseball, American Football, bola keranjang dan juga hoki ais. Di sini mereka memiliki pasukan baseball terkenal iaitu Red Sox yang mula bertanding pada musim bunga dan hanya berakhir pada awal musim sejuk. Kota ini juga memiliki pasukan paling berprestej dalam bolasepak Amerika atau American Football iaitu New England Patriots. Kalau anda bersiar-siar di sekitar kota, jangan cuba-cuba memakai jersi atau topi dengan lambang atau nama pasukan New York Yankees, NY Jets atau Giants. Peminat fanatik akan mencemu anda dan lebih malang lagi, anda tidak diberi layanan yang baik apabila berada di restoran. Sungguh! Permusuhan di antara peminat-peminat fanatik Boston dan New York masih lagi berterusan sehingga kini. Lebih-lebih lagi apabila media massa melaga-lagakan mereka untuk melariskan jualan tiket.
Apa yang telah anda baca setakat ini hanyalah sekadar luarannya sahaja. Kota ini mempunyai dimensi yang pelbagai, dan saya akan cuba menulis tentangnya dalam coretan-coretan akan datang untuk tatapan anda.