Musim bunga hadir lagi…

Musim bunga, secara rasminya akan bermula pada 21 Mac, namun kicauan mockingbird dan kehadiran burung robin, hari siang yang kian panjang dan taman-taman yang mula di banjiri orang ramai bagaikan suatu isyarat bahawa bulan hibernasi sudah berakhir. Semuanya bagaikan tidak sabar-sabar untuk memulakan kehidupan baru. Begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok. Dengan suhu yang mula meningkat ke angka 60° F atau lebih kurang 15° C, ramai orang berasa lega kerana tidak perlu lagi berbaju tebal, sebaliknya hanya memakai baju panas nipis dan jeans apabila keluar untuk melakukan aktiviti luar rumah. Jelas cahaya keriangan terpancar di setiap wajah penghuni negara beriklim sejuk ini.

Bunga-bunga crocus merupakan bunga yang akan muncul semalaman bila saja menjelang musim bunga.

Salah satu lagi isyarat yang menunjukkan tentang kehadiran musim bunga ialah dengan kemunculan bunga-bunga crocus secara tiba-tiba. Warna-warna bunganya yang unggu, atau putih berjalur lavender hadir semalaman tanpa diduga. Crocus hanya mampu bertahan selama seminggu sahaja sebelum bunga-bungaannya layu, namun bunga-bunga ini tetap meninggalkan kesan yang menyeronokkan. Pada masa yang sama menyusul pula spesis tumbuh-tumbuhan lain mewarnai segenap ruang taman.

Dafodil tumbuh menceriakan lagi suasana musim bunga.

Bunga dafodil menjentik perasaan ceria, tulip berbagai warna menyuntik ilham, diikuti oleh iris, dan banyak lagi.

Bunga-bunga tulip beraneka warna berkembang ceria di taman.

Kehadiran bunga hyacinth pula mengharumkan persekitaran dengan bau parfumnya. Pokok-pokok seperti crabapple, cherry turut sama berbunga lebat sebelum digantikan dengan daun-daun menghijau.

Bunga hyacinth in harum semerbak seperti minyak wangi.

Ketika inilah juga serangga termasuk honey bees atau lebah madu paling sibuk menikmati manisan yang dihidangkan oleh bunga-bunga beraneka warna dan bentuk.

Bunga mekar menjadikan silebah madu asyik mengumpul makanan tanpa menghiraukan sijurugambar mengambil gambarnya.

Dalam keriangan menikmati minggu-minggu awal musim bunga, musim sejuk biasanya tidak akan berlalu begitu sahaja tanpa mengucar-ngacirkan keadaan. Tidak hairanlah apabila sisa-sisa salji masih lagi turun walaupun sudah berada di akhir Mac atau awal April. Hujan juga kerap membasahi bumi dan menjadi pemangkin kepada proses pertumbuhan dan kehidupan tumbuh-tumbuhan di sekeliling. Ketika ini pokok-pokok kayu mula berpucuk dan mengeluarkan daun-daun hijau muda. Di pertengahan April, biasanya musim sejuk sudah kehilangan tenaga lalu terpaksa mengalah dan berundur secara diam-diam. Musim bunga kini menguasai alam, menjanjikan suatu kehidupan baru yang meyakinkan.