Obsesi penduduk barat terhadap kulit kayu manis

Selama ini kulit kayu manis hanya digunakan oleh penduduk di sekitar Asia Tenggara untuk masakan berempah. Itu yang saya tahu.

Serbuk kulit kayu manis

Serbuk kulit kayu manis

Betapa ceteknya pengetahuan saya.

Kayu manis? Ya betul. Kulit kayu manis yang menjadi salah satu rempah ratus utama dalam masakan berkari di Asia Tenggara terutamanya Malaysia. Di sini, di benua Amerika, ia dikenali sebagai cinnamon. Majoriti penduduk tempatan di Amerika Syarikat taksub dengan kayu manis. Pertama kali menjejakkan kaki ke gedung membeli belah–terutama di bahagian roti, bau kayu manis yang beraroma manis, pedas dan berempah begitu menusuk hidung. Roti berbagai jenama dibungkus dengan menarik dan semuanya berbau kulit kayu manis.

Setahu saya, penggunaan serbut kulit kayu manis dalam makanan adalah normal. Ianya menjadikan kari daging berbau harum selain bertindak sebagai penambah selera. Tetapi, menjadikan serbuk kayu manis sebagai salah satu bumbu roti? Saya sukar menerimanya. Ketika itu saya sedang mencari “raisin bread” atau sebuku roti yang diadun bersama kismis. Apabila melihat kandungan yang tersenarai, saya segera meletakkannya semula ke tempat asal. Hanya kerana cinnamon tersenarai dalam adunan roti.

Roti berbau cinnamon yang menusuk hidung

Roti berbau cinnamon yang menusuk hidung

Uggh.

cinnabun

cinnabun

Di sini, tidak sah sekiranya anda tidak disuakan dengan roti, kek malah biskut yang mempunyai aroma berempah ini. Boleh di katakan semua kedai makanan segera menawarkan cinnabun yang terhasil dari gabungan “cinnamon + bun.” Jangan terkejut, orang-orang barat di AS khususnya, membakar roti dan menaburkan serbut kayu manis bersama gula kasar di atasnya sebelum menghidangkannya sebagai juadah sarapan pagi adalah perkara biasa.

Mengapa mereka begitu meminati kayu manis sehinggakan kesemua makanan mereka mesti mengandungi serbuk ini? Setelah puas marah-marah dan putus asa, akhirnya saya terpaksa menerima kenyataan.

Cokelat dan kulit kayu manis

Cokelat dan kulit kayu manis

Mereka di sini memang amat menyukai bau kulit kayu manis. Sangat-sangat menyukai aroma berempahnya hingga ke tahap obsesi. Bagi mereka, kulit kayu manis meningkatkan suhu kepanasan badan. Lebih-lebih lagi ketika musim sejuk tiba. Tambahan lagi, aroma yang dihasilkan membuatkan mereka berasa senang dan selesa. Seolah-olah aroma dari kulit kayu manis ini bertindak seperti gebar tebal yang meyelimuti badan ketika duduk santai di ruang tamu. Di atas meja pula terletak cawan berisi minuman cokelat panas dan sepotong kulit kayu manis yang separuh tenggelam seolah-olah bertindak seperti penyedut minuman.

Remaja memakan serbuk kulit kayu manis

Remaja memakan serbuk kulit kayu manis. Klik gambar untuk melihat animasi.

Untuk membuktikan betapa popularnya serbuk ini, golongan remaja telah mencetuskan satu pertandingan memakan kayu manis atau “Cinnamon Challenge.” Mereka mencabar sesama sendiri siapa yang berani memakan serbuk kulit kayu manis tanpa memuntahkannya. Khabarnya, pertandingan extrem dan tidak masuk akal ini telah meragut nyawa.

Gila.

Memang tidak dapat dinafikan majoriti penduduk barat tidak suka atau tahan memakan masakan berkari dan pedas. Lalu, mereka memilih untuk mencampurkan saja kulit kayu manis yang berbau rempah ini sebagai pengganti. Kenyataan yang dirahsiakan selama ini akhirnya terbongkar. Saya berasa lega. Tapi, ianya tidak bertahan lama.

Lilin dengan haruman kulit kayu manis

Lilin dengan haruman kulit kayu manis

Ketika memasuki pasaraya pada musim sejuk, setiap inci ruang berbau kulit kayu manis. Apabila menjelang hari natal pula, rumah mereka juga penuh dengan aroma yang sama. Apa tidaknya, lilin yang berbaris memagari rak di atas tungku diperbuat daripada parafin yang diadun bersama kulit kayu manis.

Saya akhirnya menyerah kalah.

Nota: Gambar-gambar hiasan di dalam tulisan ini bukan milik saya. Ianya dipinjam dari Internet.