Jadi, anda berminat untuk menjadi seorang penulis? Sepenuh masa atau separuh masa? Entah mengapa, ramai yang berpersepsi bahawa tugas sebagai seorang penulis menyeronokkan. Barangkali tugasan mereka yang tidak melibatkan pergerakan aktif, tetapi hanya duduk melayan angan-angan berjam-jam lamanya. Kemudian, jari-jemari rancak menari-nari menekan butang papan kekunci. Atau menulis di atas kertas nota tanpa menghiraukan keriuhan suasana di sekeliling. Penulis tenggelam di dunia fiksyen yang di huni para watak-watak ciptaannya.
Barangkali juga ramai yang berangan-angan untuk menjadi penulis kerana ingin mengalami keindahan dunia penulisan itu sendiri. Memang saya akui, proses berkarya merupakan suatu yang menagihkan. Peluang untuk keluar dari dunia realiti kehidupan dan menyelami dunia watak-watak utama dan sampingan merupakan suatu pengalaman baru yang berbeza. Bayangkan seorang penulis sedang melayari dunia yang dihuni oleh seorang watak saintis. Watak itu akan membawanya ke dunia baru dan belajar tentang terma dan bahasa yang tidak pernah dia sentuh selama ini. Alih-alih dia berbual dengan para saintis terkemuka dunia tentang suatu ciptaan terbaru yang boleh menyembuhkan penyakit merbahaya. Atau, sekiranya anda seorang penulis dewasa tetapi berminat untuk menulis genre remaja atau young adult, peluang untuk kembali ke alam remaja dan menyelami perasaan watak utama remaja yang anda cipta memberi peluang untuk merenung kembali zaman remaja yang sudah berlalu.
Okey, nampaknya tulisan saya sudah tersasar daripada asalnya. Bidang penulisan, walau menyeronokkan, menuntut bukan sekadar keinginan, tetapi juga bakat dan kesungguhan. Ramai yang patah harapan apabila berhadapan dengan kegagalan mencapai impian utama–menerbitkan hasil tulisan. Dengan adanya kemudahan berkarya di Internet, tidak ada alasan mengapa seseorang yang berminat untuk menulis tidak berjaya mengumpul peminat yang menyokong usahanya. Apa yang pasti, definisi kejayaan yang anda mahukan perlu datangnya dari dalam diri, bukannya bersandarkan definisi orang lain.
Sekiranya anda seorang yang berbakat menjadi seorang pencerita atau storyteller, tidak ada sesiapa yang mampu menghalang anda menjadi seorang penulis berjaya. Naluri untuk berkongsi cerita dengan sesiapa sahaja akan mendorong anda untuk melakukan apa yang diperlukan untuk menjadi seorang penulis berwibawa.
Teruskan usaha anda.