Biasanya saya dapat meramalkan novel yang saya baca itu akan memberikan kepuasan emosi hingga ke akhir mukasurat, sekiranya dalam bab pertama, saya sudah leka di dalam dunia yang dihuni oleh watak-watak. Malah saya seolah-olah berada tidak jauh dari watak utama, memerhati dia berinteraksi dengan watak antagonis. Bukan itu sahaja, tapi saya dapat “merasa” perasaan mereka–marah, kecewa, putus asa dan sebagainya. Saya hidup dan bernafas dalam “dunia sebenar” mereka dan menyebabkan saya semakin terheret untuk meneruskan pembacaan.
Pernahkah anda mengalami seperti apa yang saya telah selami? Kalau ya, apakah sebabnya sehinggakan anda mampu menggantung penghakiman anda terhadap kisah kehidupan dalam novel berkenaan, atau lebih tepat kemampuan anda menggunakan suspension of disbelief?
Barangkali jawapan kita serupa: watak-watak dalam novel yang kita baca mempunyai perwatakan yang unik dan istimewa. Barangkali juga anda meneruskan pembacaan kerana anda pernah mengalami konflik yang sama seperti apa yang sedang dialami oleh watak-watak protagonis berkenaan. Dan anda berasa amat bersimpati dan mengharapkan mereka berjaya mengharungi segala cabaran dan dugaan untuk mencapai apa yang diinginkan.
Banyak lagi faktor-faktor yang menyebabkan anda berjaya menggantung penghakiman anda tentang “dunia fiksyen” yang disogokkan oleh penulis dan watak-watak yang mendiaminya. Salah satu daripadanya ialah cara babak ditulis atau dipersembahkan dengan tujuan merangsang pancaindera.
Mungkin anda tidak pernah memikirkan tentang hal ini kerana ianya adalah tanggungjawab penulis. Namun, sekiranya anda sanggup berjaga hingga larut malam semata-mata untuk menghabiskan novel itu, penulis telahpun berjaya memerangkap anda dengan kemahirannya merangsang sistem pancaindera ketika menulis babak-babak cerita.
Sistem pancaindera yang dimaksudkan termasuklah deria untuk menghidu, mendengar, mengecap, melihat dan menyentuh. Misalnya, penulis akan menunjukkan kepada pembaca, bukan menerangkan, watak yang sedang marah.
Contoh babak memberitahu pembaca tentang watak yang sedang marah:
Dia begitu marah sebaik sahaja mendengar keputusan yang diambil oleh sahabatnya itu. Dia tidak bersetuju. Sepatutnya rakannya itu berbincang dengannya terlebih dahulu. Dia menghalau kawannya keluar.
Contoh babak yang menunjukkan watak sedang marah:
Tanpa amaran dia menampar meja dan gelas berisi jus oren melimpah keluar. “Aku tak setuju!” Kedua-dua tangan dikepal ketat dan matanya memicing. Sia-sia saja mereka menjadi sahabat. “Sila keluar, sebelum aku hilang sabar.”
Kedua-dua contoh ini mempunyai tujuan yang sama–untuk mempersembahkan amarah watak. Namun dalam contoh pertama, ianya tidak merangsang deria saya sebagai pembaca. Bila saya membacanya, saya berasa bosan. Babak itu hambar dan mendatar.
Dalam contoh kedua, sistem pancaindera saya umpama radar kerana tanpa sedar saya dapat mengesan dengan cepat kemarahan watak. Tindakan menampar meja “kedengaran” amat kuat sehinggakan meja bergegar (walau tidak dinyatakan) dan minuman berkocak keluar. Penggunaan tanda seruan turut merangsang deria pendengaran kerana ianya menunjukkan watak berteriak. Dan bila kedua-dua tangan dikepal dan mata memicing, denyutan jantung saya menjadi pantas kerana saya risau watak itu akan melakukan sesuatu yang tidak diingini ke atas rakan yang telah mengkhianatinya. Dialog terakhir, walau kedengaran lembut, adalah amaran untuk menambahkan lagi suasana tegang di antara mereka.
Penulis yang mampu memanipulasi sistem pancaindera pembaca ketika menulis babak-babak penting dalam novelnya pasti akan mendapat perhatian. Bukan sahaja pembaca akan dapat merasa, mendengar dan melihat tingkahlaku watak, malah perasaan ingin tahu mereka akan terusik dan sudah pasti akan meneruskan pembacaan.
Kemahiran penulis untuk merangsang dan memanipulasi sistem pancaindera pembaca dalam babak-babak tertentu akan menjadikan pembacaan menjadi aktif dan menyeronokkan. Kebijaksanaan penulis untuk menggunakan teknik ini dalam bab-bab yang tertentu merupakan salah satu cara yang licik, tapi berbaloi untuk menarik perhatian pembaca dan membuatkan mereka mempercayai dunia dan kehidupan watak.
Kini, giliran anda pula. Mampukah anda menarik perhatian pembaca untuk tinggal bersama watak-watak di dalam dunia fiksyen yang anda reka? Buktikan.