Warna-warna hangat musim luruh

Musim luruh bertandang lagi untuk kesekian kalinya. Seperti biasa, musim panas berakhir di pertengahan September. Kali ini, transisi cuaca–daripada panas ke sejuk–agak drastik. Memandangkan sistem ramalan cuaca di sini canggih, para penduduknya sentiasa mendapat maklumat tepat dan semasa.
Apabila keluar rumah mereka sudah bersedia memakai pakaian tebal yang selesa.

Berbeza dengan musim panas, musim luruh adalah masa paling sibuk untuk semua. Ramai penduduk kota Boston yang telah kembali dari destinasi percutian musim panas dan bersedia memulakan tugas, para pelajar pula sibuk dengan penggal pertama persekolahan dan gedung-gedung membeli-belah rancak mengiklankan diskaun untuk menarik perhatian bakal pembeli. Lagipun perayaan Hari Natal atau Krismas akan menjelang tiba, dan jenama-jenama antarabangsa terkenal berlumba-lumba menurunkan harga untuk meningkatkan jualan. Pendek kata, musim luruh yang bertamu menandakan bermulanya kehidupan yang hiruk-pikuk buat penduduk kota.

Ironinya, waktu penduduk kota ini seolah-olah baru terjaga daripada lena menikmati musim panas yang santai dan membuaikan, alam sekitar pula mula bersedia untuk beradu. Pohon-pohon yang rimbun menghijau mula bertukar warna menjadi kekuningan, merah, oren dan keperangan sebelum daun-daunnya berguguran ke bumi.

New England yang terdiri daripada Massachusetts, Maine, Rhode Island, Connecticut, Vermont dan New Hampshire merupakan rantau di timur laut Amerika Syarikat yang terkenal dengan pemandangan musim luruh yang menakjubkan. Bermula dari dahan paling atas, pohon-pohon maples akan memperagakan warna-warna daunya yang terang dan hangat seperti merah, kuning dan oren. Sementara dedaunan di dahan-dahan peringkat bawah masih lagi berwarna hijau. Kombinasi warna-warna ini mengundang perasaan kagum para pelancong dan menjadi subjek utama para jurugambar yang memang ternanti-nanti akan pemandangan seumpama ini. Daun-daun sumac merah menyala, diikuti oleh pohon-pohon sassafras yang tidak ketinggalan mempamirkan ledakan warna-warna garang yang mempesonakan.

Walau bagaimanapun, keindahan warna ini tidak akan bertahan lama kerana sebaik saja musim luruh berakhir di pertengahan Disember, pemandangan akan berubah lagi dengan hadirnya musim sejuk.

Kesan peralihan musim kepada corak kehidupan

Selain dari musim bunga, musim luruh menyajikan pemandangan landskap yang sungguh mengasyikkan. Berbagai temasya di adakan sepanjang bulan. Antaranya perayaan Halloween dan Thanksgiving. Untuk meraikan kehadiran musim luruh, ramai yang membeli buah pumpkin atau labu berbagai jenis, warna dan bentuk untuk menghias beranda rumah. Pumpkin oren yang diukir wajah Jack-O’-Lantern menjadi penghias tangga-tangga rumah kediaman. Untuk menambahkan lagi seri musim luruh, ramai yang menghias halaman rumah dengan tema-tema Halloween. Keranda, batu nisan dan tengkorak plastik antara pilihan untuk melahirkan suasana gerun. Tidak ketinggalan imej-imej haiwan, yang hanya berkeliaran di malam hari, tergantung di dahan-dahan pohon cemara yang rendang.

Ternyata, kehadiran musim luruh amat dinanti-nantikan oleh para penggemar musim ini. Namun, ada juga yang tidak begitu ghairah dengan kehadirannya. Antara alasan yang diberikan ialah suhu yang sejuk, cuaca yang tidak menentu dan awan yang kelam. Apa yang pasti sinar mentari tidak sepanas musim yang terdahulu dan siang hari yang singkat. Kerana itu ramai yang merungut apabila mengalami Seasonal Affective Disorder atau SAD. Kecelaruan ini berlaku apabila badan tidak mendapat cahaya matahari yang mencukupi. Kesannya, badan akan terasa letih dan tidak bermaya. Jika dibiar berlanjutan masalah kemurungan akan menyusul selepas itu.

Secara keseluruhannya, musim luruh menyajikan pemandangan alam sekitar yang penuh warna yang menakjubkan. Setelah mengharungi musim panas yang agak membosankan, kehadiran musim luruh yang menjanjikan warna-warna hangat akan dinikmati sepuas-puasnya, sebelum ianya berlalu pergi.